MUSIBAH banjir yang berlaku di beberapa negeri di Malaysia sememangnya memberi kesan mendalam kepada mangsanya kerana terjejas akibat kehilangan harta benda, terputus bekalan makanan dan terdapat antara mereka yang kehilangan ahli keluarga.
Banyak pihak di negara ini dalam kalangan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan individu yang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir bagi membantu mereka meringankan beban.
Justeru, baru-baru ini Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melaksanakan beberapa usaha bagi membantu meringankan beban kepada mangsa banjir di Raub dan Lipis, Pahang.
Kira-kira 300 mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Muhammad Jabar, Dewan Serbaguna Kampung Pia, penduduk Kampung Kundang Patah, Dong Raub dan mangsa banjir di Kuala Lipis disantuni YaPEIM dalam program yang dijalankan Skuad Qaseh menerusi Program Inspirasi Qaseh Kami.
Program yang dijalankan itu menyumbang barangan keperluan asas seperti beras, tepung gandum, daging segar dan lain-lain barangan dapur sama ada untuk dimasak di pusat pemindahan sementara atau digunakan untuk keperluan mangsa banjir sendiri.
Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, YaPEIM sebelum ini turut aktif dalam membantu meringankan beban mereka yang tidak bernasib baik terutama di kalangan keluarga B40.
“Sebaik pihak kami mendapat maklumat mengenai banjir yang melanda beberapa kawasan di pantai timur, YaPEIM segera melakukan penyelarasan sebelum bantuan disalurkan terus kepada mereka yang memerlukan.
“Ada juga program yang kita jalankan secara bersama dengan agensi di bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan dilakukan pihak pengurusan YaPEIM Negeri,” katanya.
Parihah berkata, program santuni mangsa banjir baru-baru ini juga turut mendapat perhatian Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan timbalannya, Ahmad Marzuk Shaary yang bersama-sama YaPEIM menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
Katanya, program seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keperluan mangsa banjir dititikberatkan.
“Kita harap bantuan kecil yang dihulurkan ini dapat memberi manfaat kepada mangsa banjir. YaPEIM juga mendoakan supaya urusan mereka dipermudahkan serta dijauhkan dari segala bencana,” katanya.
Malah Parihah juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyumbang Tabung Amanah YaPEIM kerana sumbangan yang dihulurkan mereka dari pelbagai sudut diterjemahkan melalui pelbagai program amal jariah yang dilaksanakan pihak YaPEIM.
Justeru, sumbangan orang ramai melalui derma mahupun potongan gaji banyak memanfaatkan golongan yang terkesan di negara ini dan YaPEIM mengambil inisiatif mewujudkan pelbagai program amal jariah seperti Foodbank YaPEIM 2.0, Sinar Kasih, Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) dan lain-lain untuk menyantuni mereka, kata Parihah.
Sumber: My Metro