KUANTAN : Sejak ditubuhkan pada tahun 1996, Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) terus mengejar matlamat untuk membantu lebih ramai pelajar terutamanya melalui program Akademi Menara Gading (AMG).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, usaha yang dilakukan selaras hadi Nabi Muhammad S.A.W yang mengingatkan mengenai peranan dan tanggungjawab untuk membantu antara satu sama lain seterusnya mewujudkan masyarakat yang harmoni.
“Program Akademi Menara Gading (AMG) merupakan program utama YASA yang mendapat kerjasama sepenuhnya dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dalam kalangan pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik dari seluruh negeri Pahang.
“Alhamdulillah, setakat ini program AMG, telah terbukti mampu melahirkan ribuan graduan yang berjaya dalam pelbagai bidang kerjaya, seterusnya, dapat membantu ibu bapa dan keluarga mereka hidup dengan lebih selesa.
“Saya secara peribadi ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah, khususnya kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pihak-pihak lain yang telah bekerjasama dengan pihak YASA sejak sekian lama dalam merealisasikan kecemerlangan akademi ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Aspirasi Menara Gading dan Majlis Penutup Access Leadership Program Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) & U.S. Embassy Kuala Lumpur dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara YASA & UMP di Hotel Zenith, hari ini.
Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak, Pengarah Besar Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), Professor Dato’ Dr Abdul Razak Ahmad, Kaunselor Hal Ehwal Awam Kedutaan A.S, Melinda Masonis serta Pemangku Naib Canselor UMP, Prof Dato Ts Dr Yuserrie Zainuddin.
Sementara itu, dalam majlis sama baginda mengingatkan kepada semua peserta agar tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik semata-mata tetapi perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni supaya menjadi insan kamil.
“Nilai-nilai yang baik adalah bermula dari rumah di mana ibu bapa perlu memainkan lebih peranan dalam mendidik anak-anak, bukannya menyerahkan tanggungjawab tersebut sepenuhnya kepada guru dan pihak sekolah,” titah baginda.
Titah baginda lagi, era the fifth industrial revolution, yang berteraskan revolusi maya telah memberikan impak yang sangat besar kepada sektor ekonomi, sosial dan juga pendidikan.
“Cabaran ini memerlukan pelajar memiliki pelbagai pengetahuan dan kemahiran soft skills seperti leadership, pemikiran kreatif serta penguasaan Bahasa Inggeris.
“Sejajar dengan keperluan itu, pihak YASA dan U.S Embassy Kuala Lumpur telah melaksanakan access leadership programme bagi memantapkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar terlibat,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang telah mengadakan MOU dengan YASA bagi meningkatkan kepelbagaian aktiviti pendidikan di negeri Pahang.
Baginda turut berharap lebih banyak pihak dapat melibatkan diri dan mengadakan program seumpamanya bagi membantu lebih ramai pelajar miskin, anak yatim dan anak Orang Asli serta golongan kurang bernasib baik untuk sama-sama cemerlang dalam pendidikan seterusnya menjejakkan kaki ke menara gading.
Sumber: PAHANGMEDIA