SHAH ALAM: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyerahkan 3,000 set kelengkapan perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menyempurnakan pengurusan jenazah pesakit COVID-19 di negeri ini, semalam.
Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah, berkata sumbangan bernilai RM104,640 itu adalah inisiatif YIDE membantu JAIS.
“Ini adalah penyerahan sumbangan PPE siri kedua, sebelum ini sebanyak 1,000 set PPE bernilai RM21,360 telah diserahkan kepada JAIS.
“YIDE selaku agensi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menjalankan kerja kebajikan turut bersama JAIS membantu menyediakan kelengkapan bagi petugas yang akan menguruskan jenazah pesakit COVID-19.DISYORKAN UNTUK ANDA
“Terima kasih kepada semua petugas pengendali jenazah di bawah seliaan JAIS yang menyempurnakan amanah ini sebaik mungkin dan melaksanakannya demi menunaikan tuntutan fardu kifayah walaupun berdepan tempoh sukar bagi menjawab tohmahan dilemparkan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Penyerahan PPE telah dibuat oleh Nur Mohd Razali kepada Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan pada majlis ringkas di JAIS, semalam.
Sumber: Berita Harian