Yayasan Pahang Perluas Program Profesional

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Yayasan Pahang telah menjalin kerjasama bersama Beyond4 pada tahun 2022 dalam usaha memperluaskan program-program profesional yang relevan dengan perkembangan industri teknologi semasa era globalisasi dengan membangunkan tiga program utama.

Tiga program itu ialah Program ‘Skill Accelerator’ yang merangkumi pengiktirafan SAP dan teknologi terkini, yang menawarkan jaminan pekerjaan kepada graduan baru Pahang dengan memfokuskan analisis data, pembangunan full-stack, dan IoT (Internet of Things).

Program kedua ialah Pahang Innovative Startup Accelerator (PISA) yang merupakan usaha untuk menyokong ekosistem rintis perniagaan di Pahang dan dijangka membantu pertumbuhan ekonomi negeri sebagai platform bagi pengasas startup di negeri ini untuk mendapat sokongan dalam membangunkan perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi, PISA merupakan penggalak dan penyedia platform kepada golongan usahawan untuk dibangunkan dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada mereka.

“PISA ini adalah bertujuan menggalakkan syarikat-syarikat berteknologi tinggi untuk dibangunkan di Pahang maknanya dia ada idea tetapi susah dilaksanakan sendirian, nak cari fund, nak buat demo, itu susah, jadi kalau dia masuk sini, dalam tempoh tiga bulan dia akan ajar bagaimana nak dapat duit daripada venture capital, macam mana nak dapat duit daripada geran.

“Kalau ada syarikat Pahang, masalahnya mereka hendak mencari pertolongan di mana, dia boleh pergi, ada MAVCAP, ada Cradle di ‘Federal’, dekat Pahang tiada, jadi orang Pahang kita bagi ‘special’ sikit, maknanya dia tidak perlu bayar apa, dia masuk program ini, Mr Ruban akan latih dan ‘guide’ macam mana hendak buat pemasaran, bagaimana hendak berhubung dengan orang Taiwan, jadi itulah kita hendak menggalakkan syarikat ‘startup’ ini dapat dimeriahkan di Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi bersama media pada Media Engagement With Beyond4 For Talent Accelerator (PISA) bertempat di Pusat Pembelajaran Online, Rumah Pahang di Yayasan Pahang, Kuantan, hari ini.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua Pegawai Eksekutif Beyond4, Encik S. T. Rubaneswaran dan Ketua Pegawai Pelaburan Yayasan Pahang, Encik Airul Amri Amran.

Sehingga kini, terdapat 113 graduan dalam program Skill Accelerator dengan 93 daripadanya berjaya mendapatkan pekerjaan dalam industri teknologi manakala Program PISA pula telah melahirkan tiga kumpulan dengan jumlah 39 startup, seperti YesHello, Exploria Malaysia, dan QarboTech.

Menerusi Skill Accelerator, Yayasan Pahang akan terus melakukan penyelidikan untuk memastikan program pekerjaan profesional sentiasa relevan dengan keperluan industri dengan memberikan keutamaan kepada kemahiran dan pensijilan yang relevan dengan industri untuk memastikan graduan mempunyai masa depan cerah dalam kerjaya.

Pada sesi bersama media itu juga, YH. Dato’ Indera Mahmud turut melawat ke Pusat Pembelajaran Online di Rumah Pahang, Yayasan Pahang yang menjadi Malaysia Digital Hub yang akan dikelola oleh Yayasan Pahang sendiri selepas mendapatkan pengiktirafan MDEC yang akan membuka peluang-peluang besar bagi startup di Pahang. – PAHANGMEDIA