Yayasan Petronas semalam membangkitkan keceriaan 700 keluarga berketurunan Tionghua di Pantai Timur dengan menghulurkan sumbangan menerusi Program Sentuhan Kasih Tahun Baharu Cina 2021.
Pengurus Besar Petronas Pantai Timur Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata sumbangan berupa bekalan makanan asas bernilai RM100 itu disampaikan kepada 350 keluarga di Kuantan, Pahang, 200 keluarga di tiga jajahan di Kelantan dan 150 keluarga di Dungun, Terengganu.
Beliau berkata berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sumbangan itu disampaikan melalui beberapa majlis ringkas yang berasingan dengan kerjasama Pejabat Kebajikan Masyarakat di setiap negeri terbabit.
“Di antara bekalan makanan asas yang disampaikan adalah beras, bihun, tepung, beras pulut, makanan dalam tin, bahan minuman serta keperluan memasak seperti minyak masak dan kicap manis.
“Selain daripada itu, Petronas turut menyampaikan sekotak pelitup muka dan sebotol pencuci sanitasi kepada setiap keluarga penerima,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Sementara itu di MELAKA pula, Yayasan Petronas mengagihkan 950 kit makanan dan penjagaan kebersihan diri kepada golongan kurang bernasib baik di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.
Pengurus Besar Petronas Selatan Sazli Zakaria berkata menerusi program Sentuhan Kasih itu, barangan berkenaan diagihkan kepada golongan memerlukan seperti anak yatim, ibu tunggal dan warga emas bagi meringankan beban mereka membuat persiapan sempena perayaan tersebut.
“Kesemua penerima ini telah dikenal pasti menerusi rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan setiap penerima akan menerima sumbangan bernilai RM100. Seramai 300 penerima akan menerima sumbangan berkenaan di Melaka, 300 di Negeri Sembilan, dan 350 do Johor,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat JKM Melaka di Ayer Keroh di sini, semalam.
Majlis penyerahan sumbangan menerusi program Sentuhan Kasih Tahun Baharu Cina itu disempurnakan Exco Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
Sumber: Bernama