Kuala Terengganu: Kerajaan negeri bersetuju menangguhkan pembayaran pinjaman bagi membantu meringankan bebanan usahawan yang terkesan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu Mohd Nur Khuzaini A Rahman menjelaskan, seramai 522 usahawan yang mendapat kemudahan pinjaman daripada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) diberi penangguhan membayar pinjaman.
Menurutnya, penangguhan bayaran pinjaman selama dua bulan bermula bulan ini membabitkan nilaian keseluruhan berjumlah RM506,612.
“Dengan penangguhan itu, YPU tidak akan mengambil bayaran pinjaman daripada 522 usahawan di seluruh negeri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas mengenai sewaan premis milik YPU, Mohd Nur Khuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Kota Putera berkata, kerajaan negeri juga bersetuju mengecualikan bayaran sewaan selama dua bulan membabitkan seramai 108 usahawan.
Menurutnya, pengecualian bayaran sewa 134 premis tidak termasuk bangunan pasar raya membabitkan nilaian RM360,783.
“Insentif menangguhkan bayaran pinjaman dan pengecualian sewaan premis bagi membantu mengurangkan bebanan usahawan terutama yang terbabit dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan susulan pelaksanaan SPP,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Nur Khuzaini berkata, kerajaan negeri sedang berusaha melakukan penambahbaikan aplikasi Ganu Shop dalam usaha membantu usahawan membuat promosi produk dihasilkan melalui dalam talian.
Katanya, proses penambahbaikan sedang dilakukan adalah sistem perakaunan, transaksi dalam talian membabitkan beberapa institusi kewangan.
“Sebanyak 450 syarikat PKS sudah menggunakan kemudahan aplikasi Ganu Shop untuk mendaftarkan 1,057 produk dihasilkan,” katanya.
Sumber: My Metro