Yusri Kagum Semangat Juang Bos Gaurus

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

IPOH: Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah bangga dengan semangat juang dipamerkan anak buahnya selepas menewaskan Sabah FC 1-0 sekali gus mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

Keputusan malam tadi membolehkan Perak mengatasi Sabah dengan agregat 3-2 selepas seri 2-2 pada suku akhir pertama di Kota Kinabalu pada 15 September lalu.

Yusri berkata, tiada yang lebih membanggakan apabila melihat pemainnya berjuang bermati-matian di Stadium Perak yang disaksikan lebih 14,000 penonton.

“Pujian harus diberikan kepada anak buah saya kerana bekerja keras mempertahankan benteng pertahanan daripada dibolosi.

“Bukan mudah untuk melakukannya kerana apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh dua minit sekalipun, keputusan akan berubah dan malam ini mereka layak meraikan kemenangan,” katanya kepada wartawan selepas perlawanan.

Bagaimanapun keceriaan layak ke separuh akhir menentang Johor Darul Ta’zim tetap meresahkan Yusri selepas dua pemain utamanya Firdaus Saiyadi dan Wan Zack Haikal Wan Noor mengalami kecederaan pada perlawanan itu.

“Saya agak risau apabila terpaksa menukarkan Firdaus pada babak pertama dan saya mengharapkan kecederaan yang dialaminya tidak begitu serius.

“Begitu juga Wan Zack yang terpaksa dikeluarkan supaya tidak mengalami kecederaan lebih serius. Kami mempunyai pemain yang hebat dan saya yakin tempat mereka boleh diisi,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee berkata, Perak berhak menang malam tadi memandangkan semangat jitu yang dipamerkan oleh tuan rumah.

“Banyak faktor permainan Sabah tidak seperti di Likas pada 15 September lalu yang mana kita masih mampu mendapatkan gol, tetapi malam ini berbeza.

“Keadaan padang yang becak, faktor kepenatan dan juga kecergasan pemain tidak berada pada tahap yang memuaskan untuk memberi saingan kepada Perak,” katanya.

– BERNAMA