Kuala Terengganu: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan kadar zakat fitrah tahun ini adalah RM7 seorang.
Yang Dipertuanya, Datuk Osman Muda berkata, penetapan kadar zakat fitrah itu diperkenankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini.
Katanya, penetapan kadar zakat fitrah itu dinilai berdasarkan harga gred Super Tempatan di pasaran selepas mengambil kira nilai bersamaan dengan beras lima peratus hancur.
“Kadar bayaran zakat fitrah itu kekal sejak 2016 dan kita melantik seramai 1,090 amil bertauliah untuk memudahkan masyarakat Islam membuat bayaran.
“Berdasarkan jumlah umat Islam di negeri ini, kita mensasarkan kutipan zakat fitrah tahun ini adalah RM6.7 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Osman berkata, umat Islam di negeri ini diminta membuat bayaran kepada amil yang ditauliah.
Katanya, berdasarkan Seksyen 40, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001, mereka yang tidak bertauliah dan didapati bersalah memungut zakat serta fitrah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Umat Islam yang membuat bayaran zakat dan fitrah kepada mereka yang tidak bertauliah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 41, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sumber: My Metro