Zii Jia, Indra Wijaya Berpisah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Jurulatih badminton dari Indonesia, Indra Wijaya mengesahkan dia sudah berpisah dengan pemain nombor dua dunia, Lee Zii Jia.

Indra yang juga bekas jurulatih perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), meninggalkan badan induk itu awal tahun ini untuk menyertai Zii Jia dan pasukan profesionalnya.

Bagaimanapun, susulan daripada pertemuan pada Jumaat, jurulatih berusia 48 tahun itu mengesahkan dia kini menjadi ejen bebas dan kembali bersama keluarganya di Jakarta.

“Saya mengadakan pertemuan dengan Zii Jia dan pengurusnya (Lee Zii Yii) pada Jumaat. Menurut Zii Jia, dia mahu mencuba sesuatu yang berbeza secara solo, tanpa jurulatih.

“Saya menghormati keputusannya dan kami berpisah dengan baik,” kata Indra.

Indra, berkata dia kini tidak terikat dengan mana-mana pihak dan terbuka kepada tawaran serta peluang baharu untuk kerjayanya sebagai jurulatih.

“Ya, sekarang saya bebas dan terbuka kepada cabaran baharu,” katanya.

Mengenai sama ada hanya dia seorang sahaja yang meninggalkan pasukan Lee Zii Jia, Indra berkata: “Saya tidak pasti mengenai yang lain. Perbincangan hanya membabitkan saya dan pengurus,” tambahnya.

Sumber : BERITA HARIAN