KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia berjaya melunaskan dendamnya ke atas Kodai Naraoka dari Jepun selepas menewaskan lawan itu untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Seluruh England, sebentar tadi.
Zii Jia yang juga juara edisi 2021 menebus kekecewaan dimalukan Naraoka di pusingan pertama Terbuka Malaysia, Januari lalu apabila kali ini melakar kemenangan 21-9, 10-21, 21-13 pada aksi suku akhir yang berlangsung Utilita Arena Birmingham.
Sebagai rekod, ini adalah pencapaian terbaik Zii Jia musim ini selepas terkandas di pusingan awal dalam tiga kejohanan disertainya Januari lalu – Terbuka Malaysia, Terbuka India, Masters Indonesia selain Terbuka Jerman, minggu lalu.
Pemain nombor empat dunia itu akan membuat perhitungan dengan juara 2018 dari China, Shi Yuqi bagi perebutan tiket ke pentas final, esok.
Yuqi melangkah ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan rakan senegara, Weng Hong Yan 21-9, 21-16 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Sumber: BERITA HARIAN