Zii Jia Masih Harapan Emas Di Paris

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tetap menjadi antara sandaran kontinjen Malaysia bagi menjelmakan kilauan pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengerusi bersama Jawatankuasa Road to Gold (RTG), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata bekas juara Seluruh England itu perlu diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan sebenarnya biarpun ketika ini bergelut dengan prestasi tidak menentu.

Katanya, Zii Jia dan seorang lagi pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong akan menjadi harapan negara bagi menggalas cabaran di temasya terbesar dunia itu.

“Zii Jia masih lagi harapan kita (dalam acara perseorangan lelaki). Kita bagi peluang kepada Zii Jia untuk berehat sebelum dia kembali meneruskan latihannya.

“Harapan dalam acara perseorangan lelaki masih lagi diletakkan kepada Zii Jia dan Tze Yong,” katanya.

Dalam pada itu, Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertahankan penyenaraian Tze Yong dalam program RTG apabila menjelaskan keputusan itu dibuat bagi membantu melonjakkan prestasi pemain berkenaan untuk menjadi pencabar pingat di Sukan Olimpik

“Siapa lagi yang layak apabila proses kelayakan pemain badminton akan berakhir April tahun depan sudah tentu Tze Yong. Walaupun ada cakap-cakap Tze Yong beraksi tiga perlawanan tetapi fizikal dia tidak cergas ke apa.

“Sebab itu, kita buat analisis untuk memberi ‘topup’ kepada Tze Yong yang sekarang ini dalam program Podium dipertingkatkan lagi untuk menjadi pencabar pingat.

“Jadi, jangan kita perkecilkan atlet kita kerana mereka seperti ‘frontliner’. Siapa lagi kita mahu harapkan, saya harap peminat sukan tanah air terus menyokong mereka,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN