KUALA LUMPUR: Masih ada perkara yang ‘mengganggu’ pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia apabila ditunjuk jalan keluar di pusingan kedua Terbuka India, awal pagi tadi.
Zii Jia yang diletak sebagai pilihan kedua tewas di tangan pemain China, Li Shi Feng dengan keputusan 11-21, 21-14, 18-21 dalam pertarungan satu jam 4 minit sekali gus tidak berupaya melangkah ke suku akhir.
Pemain berusia 24 tahun itu sekali lagi dihimpit permulaan musim yang mengecewakan apabila di Terbuka Malaysia baru-baru ini, dia turut tersingkir seawal pusingan pertama.
Pada ketika itu, Zii Jia tewas di tangan pemain Jepun, Kodai Naraoka 21-13, 17-21, 19-21 dalam tempoh satu jam 13 minit.
Pertembungan antara Zii Jia dan Shi Feng ini adalah yang ketiga dengan rekod kemenangan kini memihak kepada pemain China itu dengan 2-1.
Pada pertemuan sebelum ini, Zii Jia menewaskan lawannya itu 17-21, 21-11, 23-21 di final Terbuka Thailand 2022 manakala Shi Feng mencatat kemenangan di China Masters 2018.
Dalam pada itu, turut terkandas di pusingan kedua adalah beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang kalah 21-23, 12-21 kepada pilihan keempat dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping.
Sumber: BERITA HARIAN