Setiap manusia berlumba-lumba untuk mengecapi kebahagiaan dan kesenangan dalam kehidupan di dunia ini. Oleh sebab itu, apa sahaja perkara yang dilakukan, matlamat utamanya harus mendatangkan kebahagiaan.
Justeru, pendakwah, Asma’ Harun berkongsi satu zikir yang membantu mendatangkan kebaikan untuk kehidupan.
“Saya nak berkongsi ilmu yang tidak ternilai melebihi dunia dan isinya, satu zikir yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Saya hanya menyampaikan, kita sama-sama beramal dengan istiqamah dan khusyuk. Mudah-mudahan akan merasai kemanisannya,” coret beliau di laman sosial Facebook.
Ujarnya, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa membaca
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Laa ilaaha illallahu wahdahuu laa syariika lahuu, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘alaa kulli syai’in qodir.
“Yang beerti tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Esa tidak ada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala puji dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
“Membaca zikir ini sebanyak 100 kali dalam sehari, maka baginya pahala seperti membebaskan 10 orang hamba, ditetapkan baginya 100 kebaikan dan dijauhkan daripadanya 100 keburukan.
“Dan baginya perlindungan daripada (godaan) syaitan pada hari itu hingga petang dan tidak ada orang yang lebih baik amalnya daripada orang yang membaca doa ini kecuali seseorang yang dapat mengamalkan lebih banyak zikir ini.” (Hadis Riwayat Bukhari, hadis sahih)
Menurut beliau terdapat lima waktu yang boleh diamalkan zikir tersebut:
1. Boleh diamalkan pada bila-bila masa kerana Nabi SAW tidak menetapkan waktu.
2. Jika nak tetapkan untuk diri sendiri tiada masalah. Sebagai contohnya membaca 50 kali selepas solat Subuh dan 50 kali selepas solat Asar atau 20 kali selepas solat, asalkan cukup 100 kali.
3. Nabi Muhammad SAW menggalakkan membaca sebanyak maksudnya melebihi 100 kali sebagaimana penghujung Hadis.
4. Wanita yang sedang dalam keadaan tidak suci, seperti haid dan nifas juga boleh mengamalkannya.
5. Membaca tanpa wuduk atau menghadap kiblat juga tiada masalah sambil melakukan tugasan juga dibolehkan.
Namun begitu lebih baik jika zikir tersebut dibaca dalam suasana yang tenang supaya lebih khusyuk.
Semoga zikir yang kita amalkan ini akan memberikan kita kekuatan dalam menghadapi segala ujian dan cabaran yang diberikan Allah kepada diri kita. Semoga Allah juga memberikan kita kekuatan beramal dan istiqamah hingga diberikan Husnul Khatimah.
Sumber: SINAR PLUS